Keputusan SPM, STAM 11 Mac

KUALA LUMPUR 4 Mac – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 akan diumumkan pada 11 Mac ini.

Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mat Dom berkata, calon-calon kedua-dua peperiksaan tersebut boleh mendapatkan keputusan berkenaan di sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi.

“Calon persendirian pula akan mendapat keputusan mereka melalui pos yang akan dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, analisis keputusan peperiksaan tersebut juga akan dibentangkan pada hari yang sama di Kementerian Pelajaran.

Sejumlah 465,853 calon mengambil SPM dan 6,920 lagi menduduki STAM tahun lalu.